TABUNG SAKURA

Saturday, February 5, 2011

Tolong Fahamkan Aku

Semalam puas aku bersembang dengan seorang teman. Teman lama. Mungkin tiada apa yang menarik. Sekadar berbual kosong. Tapi aku tertarik dengan satu benda yang kami bincangkan yang berkaitan kehidupan.


“Kau pernah dengar tentang pepatah melayu? Pernah tak kau terfikir kenapa orang dulu dulu cipta segala macam pepatah dalam kehidupan. Yelah sedangkan kebanyakan pepatah itu bukannya logik. Kekadang itu langsung tak boleh diterima akal. Mengarut. Pernah tak kau terfikir?”

Aku terdiam. Aku cuba berfikir. Cuba memahamkan setiap patah perkataan yang cuba dia sampaikan. Dan aku rasa aku berpendapat yang sama. Yelah orang zaman sekarang, zaman moden, mana ada yang berbahasakan pepatah melayu lagi.

“Kau tahu setiap orang ada macam macam cerita hidup tersendiri. Tak semua orang hidup dalam pelangi. Tak semua orang hidup dalam airmata. Hidup ada banyak versi. Dan setiap versi berlainan. Tak siapa dalam hidup ini yang boleh menyatakan salah kepada hidup orang lain. Setiap orang dilahirkan dengan jalan cerita yang berbeza. Hidup kau berbeza. Hidup aku berbeza. Mungkin aku tak rasa kesukaran hidup sebagai kau. Dan kau juga tak tahu kesukaran hidup sebagai aku. Bak kata pepatah melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”

Aku terfikir. Berat memang berat. Berat sebab kita saja yang tahu apa yang kita rasa.

“Kau tahu sebab apa pepatah itu dicipta? Pepatah itu dicipta sebab orang dulu dulu nak kita jadi tempat yang dipandang. Tapi hari ini kebanyakan kita sekadar memandang bukannya dipandang. Memandang dan dipandang adalah dua benda yang berbeza. Bila kita memandang, kita cuma sekadar dapat melihat tanpa merasa. Tapi bila kita menjadi yang dipandang, cuma kita saja yang tahu apa yang kita rasa, apa yang kita lalui. Beza bukan?”

Betul. Aku setuju. Memandang dan dipandang, dua benda yang berlainan.

“Contoh yang paling mudah. Penyakit kanser. Orang kata penyakit tu sangat sakit. Orang lain mampu bercerita tentang kononnya kesakitan kanser yang sangat sakit, tapi ramai yang terlupa bahawa peaskit kanser sendiri saja yang tahu macam mana kesakitan itu. Orang lain mungkin hanya dapat bercakap, bersimpati, tapi yang menanggung hanya si pesakit.”

Aku faham apa yang cuba dia sampaikan. Sebagai manusia yang ada sifat belas kasihan, kita jangan hanya mengangungkan bahawa kita memahami seseorang. Untuk memahami seseorang bukan perkara yang mudah kalau kita meletakan diri hanya sebagai yang memandang bukan menjadi yang dipandang. Menjadi pemandang adalah benda yang mudah tapi susah apabila menjadi apa yang dipandang. Sebab cuma dia sorang je tahu apa yang dia rasa.

“ Kau kene ingat. Jangan menyalahkan orang lain kalau orang lain tak mampu memahami isi hati kita. Mungkin kita dilihat salah. Tapi kita tak harus menyalahkan mereka. Mereka cuma memandang. Kita menjadi apa yang dipandang. Berbeza. Mereka melihat dari apa yang mereka pandang, tapi kita memandang dari apa yang kita rasa. Cuba kau letak diri sebagai apa yang dipandang baru kau faham sikit apa yang dipandang. Percayalah. Kau fahamkan apa aku cakap”

Entahlah. Ayat tu terlalu rumit. Aku seakan mengerti dan seakan tidak mengerti langsung. Tolong fahamkan aku. Tapi untuk kau teman, terima kasih atas segala kata kata ini.

No comments:

SEHATI BERDANSA